• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Nafi Gugur Syarat SPM Dalam Pelantikan Ahli Majlis PBT

Oleh : Suriati Ali

KEMAMAN, 18 Ogos - Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan ada menggugurkan syarat memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuatkuasa 1 Jun lalu sebagaimana yang tular di media sosial.

Katanya,  pengecualian itu hanya diberikan kepada individu tertentu berdasarkan kes-kes yang dipertimbangkan dengan mengambil kira aspek kepemimpinan dalam komuniti.

"Semakan mendapati kurang daripada empat individu yang diberikan kelonggaran kelayakan SPM dalam pelantikan sebagai ahli majlis PBT.

“Berita itu kurang tepat, bukan kita menggugurkan syarat sebaliknya pengecualian diberikan kepada individu tertentu sekiranya ada.

“Sebolehnya kita mahu syarat itu dipenuhi tetapi kadang kala dalam komuniti ada individu tertentu yang mempunyai daya kepemimpinan tetapi tiada kelayakan SPM atas faktor demografi yang berbeza-beza dan mungkin ada segelintirnya tidak sempat mengambil peperiksaan itu suatu masa dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pecah tanah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Gong Chengal 2 di pekarangan Masjid Kampung Bukit Kukuran, Kemasik di sini hari ini. 

Ahmad Samsuri berkata, pengecualian kelayakan SPM itu bukan bersifat kekal dan selepas selesai tempoh pelantikan bagi sesi 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2022, kerajaan negeri akan memperketatkan aspek berkenaan agar selari dengan ketetapan pihak kementerian.

Baru-baru ini, tular surat bertarikh 9 Ogos 2020 mengenai pengecualian syarat kelulusan SPM  atau kelayakan diiktiraf seperti yang ditetapkan dalam tatacara dan kriteria bagi pelantikan dan penamatan ahli majlis PBT di negeri ini.

 


Tag: