• 21 Mei 2022 | 19 Syawal 1443

Terengganu Naikkan Ganjaran Imam, Bilal

KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan Terengganu bersetuju menaikkan ganjaran untuk imam dan bilal mukim yang bersara, berhenti atau berlaku kematian bermula Februari 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam.

Katanya, kenaikan ganjaran telah dibuat Kerajaan PAS pada tahun 2000 dan kini selepas 22 tahun inisiatif tersebut dinaikkan sekali lagi di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Pada tahun 2000 jumlah ganjaran persaraan imam yang berkhidmat setahun ialah RM1,100 dan bilal yang berkhidmat setahun ialah RM900.

"Alhamdulillah, tahun 2022, ganjaran persaraan imam dan bilal dinaikkan sebanyak RM400 untuk imam dan RM300 untuk bilal," katanya ketika dihubungi Urus Penerbangan Darul Imam (UPDI) hari ini.

Menurut beliau, kenaikan itu juga membolehkan imam dan bilal bersara mendapat ganjaran lebih tinggi.

Jelas Mohd Nor, inisiatif itu adalah bukti komitmen kerajaan terhadap golongan agama.

"Walaupun Kerajaan Negeri berada dalam komitmen yang banyak untuk perbelanjaan dan pembangunan negeri tetapi Kerajaan Negeri sangat prihatin dan cakna untuk menjaga kebajikan imam dan bilal yang banyak jasa kepada Islam dan rakyat," tambah beliau.


Tag: