• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Naikkan Jumlah Bantuan Mangsa Kebakaran

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Bantuan musibah mangsa kebakaran rumah dinaikkan daripada jumlah asalnya bagi membantu meringankan beban mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, jumlah asal bagi sebuah rumah berbentuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibiayai oleh Tabung Darul Iman (TDI) adalah sebanyak RM40,000.

“Jumlah terbaharu yang telah diluluskan adalah sebanyak RM56,000 bagi bantuan sebuah rumah PPRT. Proses pengisian borang pemohonan juga sudah tidak memerlukan pengesahan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di mana proses lama mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan rumah baharu berkenaan.

“Terkini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertindak sebagai urusetia bencana akan terus menyediakan laporan dan pengesyoran kepada TDI bagi mempercepatkan proses bantuan.

“Turut dijanjikan, tempoh penyiapan pembinaan rumah baharu bagi mangsa kebakaran dalam tempoh 3 hingga 4 bulan, di mana bermula tahun 2019 sehingga sekarang hampir 20 buah rumah bagi mangsa terbabit siap dibina," katanya dalam sesi dialog maya bersama penonton secara langsung melalui Tv Darul Iman, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) juga terlibat dalam pembiayaan sewa rumah sementara selama enam bulan bagi mangsa miskin sehingga rumah baharu dibina siap.

”Syarat bagi mendapat bantuan ini hanya tertakluk kepada tuan rumah yang terkena kebakaran di tanah sendiri.

“Bagi mereka yang ditimpa bencana tersebut di rumah sewa, kerajaan akan memberi imbuhan bantuan keperluan asas seperti peralatan rumah dan dapur untuk mulakan hidup baru," tambahnya lagi.