• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Terengganu Negeri Berkebajikan

KEMAMAN, 19 September - Kerajaan Negeri Terengganu prihatin terhadap kebajikan seluruh rakyatnya dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan bertepatan dengan temanya Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh menjelaskan perkara tersebut dalam satu program sumbangan untuk asnaf dan penyerahan kad SkimPAS di Kampung Sungai Mas kelmarin.

"Di samping bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), kerajaan negeri juga memperuntukkan lesen motosikal percuma, kad sejahtera untuk penama eKasih dan bantuan dari Tabung Darul Iman bagi mereka yang berpenyakit kronik dan ditimpa musibah.

"Selain itu, bantuan kaca mata percuma juga diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi mereka yang memerlukan dan bayaran premium tanah (Terkilan) yang rendah menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyatnya.

"Justeru rakyat Terengganu perlu mengambil peluang ini dalam memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan ini," ujarnya.

Beliau juga mengharapkan agar masyarakat faham dan tidak terjebak dengan berita-berita yang cuba memburukkan kerajaan.

"Kita mesti faham dan perlu mendengar penjelasan dari kedua belah pihak dan jangan mengambil pakai khabar angin daripada mereka yang cuba memburukkan dan mencalarkan imej kerajaan yang ada," ucapnya lagi.

Seramai 20 orang dari Kampung Sungai Mas dan Kampung Tebak hadir bagi menerima sumbangan barangan dapur di Pejabat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Mas/Tebak.

Turut hadir, Pengerusi Kebajikan DUN Kijal, Zawawi Mohamed dan Pegawai Kemasyarakatan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Zulkipli Mohamad.


Tag: