• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Pandang Serius Isu Individu Cabar Enakmen Syariah

Oleh : Pak Abbas 

KUALA NERUS, 18 November - Kerajaan Negeri memandang serius isu berkaitan individu yang mencabar Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) negeri Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata jika diperhalusi sebenarnya terdapat beberapa peruntukan dalam enakmen Kanun Syariah Negeri Terengganu hampir sama dengan peruntukan yang dicabar. 

“Justeru, sedikit sebanyak, keputusan kepada kes itu akan memberi impak atau kesan kepada Perundangan Syariah di negeri ini,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Kuala Nerus pada Khamis, 16 November. 

Mengulas lanjut mengenai program itu, Dr Khalil berkata ia bertujuan untuk mengajak seluruh umat Islam agar bersama-sama mempertahankan hak berkaitan Undang-Undang Syariah di Malaysia. 

“Di samping, menunjukkan kesatuan umat Islam dalam menanggani isu-isu yang timbul berkaitan kes Enakmen Syariah di Malaysia,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).

Selain itu, memohon mahkamah mengisytiharkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa membuat enakmen berkaitan kesalahan jenayah syariah yang terpakai kepada orang Islam sahaja.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS yabg juga Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Nik Elin Zurina, ia sekali gus akan bermakna semua enakmen jenayah syariah di 14 negeri dianggap batal.

“Ini adalah isu umat Islam yang cukup besar dan ia boleh dianggap 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) kerana menyentuh isu agama,” katanya.


Tag: