• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Terengganu Pantau Tahap Kebersihan Makanan di Bazar Ramadan

MARANG, 5 Mac- Kerajaan negeri akan meningkatkan aktiviti pemantauan kebersihan dan keselamatan makanan secara bersepadu dan berkala di seluruh bazar Ramadan di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sebanyak 55 lokasi bazar Ramadan akan beroperasi membabitkan 4,086 peniaga sepanjang bulan Ramadan kali ini.

“Sebagaimana sedia maklum, Bazar Ramadan merupakan tempat tumpuan orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa setiap saban tahun dan risiko kejadian keracunan makanan mudah berlaku berpunca dari makanan dan minuman yang tidak dikendalikan dengan bersih dan selamat.

 “Justeru, pemantauan akan dilakukan oleh agensi utama iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Bahagian Kerajaan Tempatan), Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media berkenaan Bazar Ramadan di Bilik Mesyuarat Utama, Majlis Daerah Marang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri turut menggalakkan peniaga melaksanakan inisiatif mesra alam anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seperti tidak menggunakan beg plastik dan penyedut minuman, larangan penggunaan bekas styrofoam dan program kitar semula sisa pepejal di Bazar Ramadan PBT.

“Peniaga terlibat diwajibkan menjalani latihan pengendali makanan dan mendapat pemeriksaan kesihatan serta pelalian tifiod, mempamerkan lesen perniagaan, kad kesihatan, dan sijil kursus. 

"Selain itu mereka juga perlu mematuhi kehendak-kehendak perlindungan makanan seperti tidak membiarkan makanan dan minuman terdedah, perkakas dan peralatan yang digunakan tidak tercemar dan mengelakkan makanan terdedah pada suhu bilik melebihi empat jam", katanya. 

Beliau berkata, peniaga juga digalakkan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai (cashless) untuk mengurangkan risiko pencemaran silang.

“Kita juga akan mengambil tindakan tegas sekiranya peniaga menyewakan lot niaga kepada warga asing,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap syarat yang ditetapkan, tindakan perundangan seperti pengeluaran notis dan kompaun akan dikeluarkan oleh penguat kuasa Kementerian Kesihatan dan PBT di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Akta Makanan 1983, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Penjaja.