• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Pecah Monopoli Kartel Beras

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober – Terengganu berjaya memecahkan monopoli kartel beras apabila sawah padi di negeri ini dimiliki melayu Islam sebanyak 100 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata Terengganu merupakan negeri pertama yang menerima Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP menerusi jenama Beras Ganu.

Katanya, daripada 12,000 hektar keluasan, 500 hektar adalah sawah padi yang mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP.

“Padi MyGAP yang dituai diproses di Kilang Padi Konsortium LPP Baruh Masin Jabi, juga milik Melayu Islam.

"Beras Ganu dibungkus oleh Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri di Kilang Pembungkusan Beras TADC Kg Telaga Papan Setiu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.

Tambah Dr Azman, Beras Ganu diedarkan oleh Ameen Hallmart Kampung Losong Kuala Terengganu yang merupakan pasar raya milik Melayu Islam.

“Dah jadi Beras Ganu, silakan siapa-siapa pun nak beli.

"Ini satu-satunya jenama beras 100 peratus tempatan dalam negara yang mempunyai persijilan MyGAP yang telah diuji selamat dari segi kualiti dan biosekuriti,” katanya.

Untuk rekod, Tahun 2021 Kerajaan Negeri membelanjakan RM400 ribu bagi menjayakan Program Beras MyGAP. 

“Tahun 2022 sebanyak RM200 ribu dan RM200 ribu lagi bagi tahun 2023 dalam bentuk pemberian insentif kepada petani MyGAP,” ujarnya.


Tag: