• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Perbanyak Kuliah Agama Sepanjang ‘Lockdown’

KUALA TERENGGANU, 1 Jun – Terengganu mengambil langkah proaktif dengan memperbanyakkan program keagamaan susulan pelaksanaan ‘total lockdown’ dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri ini. 

Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata antara aktiviti yang diperkenalkan ialah program Sanitasi Jiwa Bersama DUAT.

“Sebenarnya pelbagai slot secara dalam talian disajikan kepada seluruh masyarakat, namun yang paling istimewa adalah slot Sanitasi Jiwa Bersama Daie yang telah pun berlangsung dari 27 Mei 2021.

“Sanitasi Jiwa Bersama Daie mempunyai tiga segmen siaran langsung yang berlainan waktu iaitu Bicara Dhuha, Bicara Zuhur dan Bicara Maghrib, marilah kita berazam untuk perbaiki diri dengan mengikut program ini," katanya kepada UPDI hari ini. 

Menurutnya, sesemua slot itu menampilkan pegawai-pegawai DUAT yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Terengganu.

"Pastikan semua daripada kita duduk di rumah dan tonton segmen ini sebagai pengisian jiwa seisi keluarga,” jelasnya.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihaknya juga merancang untuk mengadakan slot pengisian jiwa secara atas talian bersama pendakwah terkenal di Malaysia dan Nusantara.

“Kita ada ramai asatizah yang tinggi ilmu dan hebat dalam menyampaikan sesuatu ilmu seperti Ustaz Abdul Somad, Ustaz Syed Nor Hisyam Tuan Padang, Ustaz Haslin Bollywood, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustazah Asma Harun, insya-Allah kita akan usahakan program ini bagi mendidik masyarakat.

"Kepakaran mereka ini akan kita manfaatkan, kita faham sepanjang kita berada di rumah, pasti akan ada satu masa kita merasa puas dan kosong, jadi program-program seperti inilah yang akan menjadi peneman,” tambah beliau.

 


Tag: