• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Perbanyak Pusat Vaksin Di Luar Bandar

HULU TERENGGANU, 26 Jun - Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri akan memperbanyakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kawasan luar bandar termasuk perkampungan orang asli.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain di masjid pihaknya bercadang untuk menjadikan pusat-pusat komuniti di kampung sebagai tempat suntikan vaksin.

Jelas beliau, strategi itu diambil bagi memastikan rakyat di negeri ini terutama di kawasan pedalaman menerima suntikan vaksin dengan cepat dan selamat.

"Kita juga akan berkolaborasi dengan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) dan entiti  lain seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan sebagainya.

"Kita memerlukan kerjasama semua pihak ini bagi memastikan usaha ini berjalan lancar termasuklah pihak yang menyediakan 'Internet Service Provider', ini penting agar program vaksinasi ini lancar apabila ada capaian internet yang baik terutama ketika pergi ke luar bandar.

"Lagi cepat boleh suntik, lagi cepat boleh keluar daripada fasa 1 Pelan Pemulihan Negera ini. Kalau boleh sebelum musim tengkujuh kita berharap agar semua dapat keluar daripada cengkaman pandemik ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir dalam Program Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid, di Masjid Al-Muhtadin Kampung Peradong, Manir, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Rosol Wahid, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri menegaskan, usaha-usaha tersebut perlu dijayakan bagi memastikan Terengganu mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

"Tambahan pula bermula Julai sebanyak 390,000 dos vaksin akan diterima dan dalam jangka masa dua bulan setengah kita akan mencapai 80 peratus rakyat disuntik vaksin," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan rakyat Besut untuk mengambil tindakan segera supaya kadar peratusan pendaftaran vaksin di daerah itu meningkat.

"Ia kerana peratusan mendaftar dari rakyat daerah tersebut hanya mencatatkan 45 peratus manakala kedua terendah ialah Setiu dengan hanya 45.7 peratus, tidak sebagaimana daerah Kuala Terengganu 63.1 peratus, diikuti Marang dan juga Kemaman.

"Kesedaran serta kerjasama rakyat negeri ini adalah sangat penting bagi menghentikan penularan wabak COVID-19," jelasnya.

Beliau yakin rakyat di pelbagai peringkat mampu melakukan saranan itu kerana Terengganu merupakan negeri kedua kepenggunaan vaksin yang tinggi iaitu sebanyak 95 peratus.

"Kita akan menggunakan cara semaksima mungkin, untuk itu saya mengucapkan tahniah kepada petugas kita di Jabatan Kesihatan dan lain-lain agensi yang telah bertungkus lumus," tambah beliau.

 

 

 


Tag: