• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Perjuang Hak Palestin

Ketua Kesatuan Ulama Luar Palestin, Dr Nawaf Takruri.
KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Kerajaan Terengganu mendokong usaha semua pihak dalam membangkitkan kesedaran dunia mengenai kebebasan dan hak rakyat Palestin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kekejaman dilakukan rejim Zionis Israel melanggar undang-undang antarabangsa, selain tindakan mereka merampas kapal membawa bantuan ubatan dan makanan.

“Dunia terutamanya Amerika Syarikat mengiktiraf Israel dan terus menekan rakyat Palestin apabila mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perpaduan Ummah & Isu Palestin di perkarangan Masjid Jamek Pengadang Baru, Kuala Terengganu, di sini semalam.

Turut serta ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Jordan, Sheikh Dr Hammam Said dan Ketua Kesatuan Ulama Luar Palestin, Dr Nawaf Takruri.


Dalam pada itu, menurutnya, kemarahan dan kekecewaan rakyat Palestin mendorong mereka untuk bertindak, namun tindakan itu terus dilabel sebagai keganasan.

“Negara yang melancarkan roket dan bom sehingga membunuh ratusan jiwa yang tidak bersalah, tindakan yang cuba menakutkan masyarakat ini juga tindakan keganasan,” ujarnya.

Justeru, orang ramai yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank Dana Taawun DPPNT, 563064113873.

Terdahulu, enam tercedera selepas sebuah pelancar roket jarak jauh yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza terkena sebuah kediaman di tengah Israel, kejadian pertama seumpamanya sejak perang Palestin 2014, kata pihak berkuasa Israel.


Serangan awal pagi baru-baru ini ke atas Mishmeret, sebuah bandar pertanian di utara Tel Aviv, berlaku ketika pergolakan memuncak menjelang ulang tahun protes di sempadan Gaza dan kunjungan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu ke Washington, sebahagian daripada kempen penggal kelima beliau menjelang pilihan raya 9 April ini.

Kali terakhir bandar komersial dan komuniti Israel diserang adalah ketika perang 2014 menentang pejuang Islam Hamas.

Serangan berlaku beberapa minit selepas tentera Israel menghidupkan siren pencerobohan udara di kawasan terbabit dan berkata sebuah roket dilancar dari Semenanjung Gaza, 80 kilometer dari kubu kuat Hamas.




Tag: