lightning-solid
Berita :
Terengganu Perkenal Mekanisme Baru Elak Kegagalan Program Lembu Pawah
Terengganu Perkenal Mekanisme Baru Elak Kegagalan Program Lembu Pawah
Rohayati Ripin
10 Sep 25
595

KUALA TERENGGANU, 10 September – Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa program pembangunan sektor penternakan yang sedang dilaksanakan tidak akan mengulangi kegagalan sistem lembu pawah sebelum ini, sebaliknya diperkenalkan dengan mekanisme lebih telus, berstruktur dan berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah memperoleh dana khas untuk membangunkan industri penternakan rakyat menerusi pendekatan baharu.

Menurutnya, dana tersebut tidak diagihkan dalam bentuk wang tunai, sebaliknya digunakan bagi membeli induk lembu baka berkualiti yang telah disahkan bunting atau Pregnant Tested In Calf (PTIC).

“Kerajaan bukan hendak membela lembu ini, sebaliknya mengagihkan induk baka kepada penternak supaya industri dapat berkembang.

“Penerima akan diikat dengan akujanji dan komitmen tertentu. Dalam tempoh tiga tahun, seekor anak lembu perlu dipulangkan semula kepada Jabatan Veterinar. Tidak kisahlah anak yang keberapa, tetapi induk dan anak-anak lain adalah milik penternak selagi hayat lembu berkenaan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, Jabatan Veterinar akan memantau pelaksanaan program itu bagi memastikan induk baka tidak dijual, disembelih atau disalahgunakan.

Katanya, strategi tersebut diyakini mampu membangunkan semula industri penternakan negeri serta menjamin keberkesanan bantuan yang diberikan.

“Memang hasrat asal saya adalah untuk beri terus kepada rakyat. Namun, manusia perlu diikat dengan komitmen supaya mereka benar-benar bersungguh. “Jika diberi tanpa syarat, sejarah kegagalan lalu mungkin berulang,” tambah beliau


Tag :

Artikel Berkaitan