KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Kerajaan negeri tetap teguh dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berasaskan Islam dengan menekankan larangan hiburan di premis tertentu serta kawalan ke atas aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam.
Menurutnya, ia termasuk penguatkuasaan larangan hiburan di premis-premis tertentu serta kawalan terhadap aktiviti jualan di bulan Ramadan.
"Antara tindakan yang bakal diambil termasuklah larangan penganjuran hiburan di premis-premis tertentu sepanjang Ramadan bagi memastikan umat Islam dapat menumpukan perhatian kepada ibadah.
"Dalam menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang bersyariat, penekanan bukan sahaja perlu diberikan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat.
"Malah aspek penguatkuasaan undang-undang Islam juga perlu ditekankan," ujarnya dalam satu hantaran Facebook rasminya baru-baru ini.
Terdahulu beliau telah mengadakan satu mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi bagi membincangkan pengisian dan penguatkuasaan aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Menurut Wan Sukairi, penguatkuasaan ini juga akan melibatkan pemantauan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan semua premis mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
"Langkah-langkah ini juga sejajar dengan dasar kerajaan negeri dalam mengekalkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat.
“Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan membuahkan hasil yang positif dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam,” tambah beliau.