Terengganu Perkukuh Usaha Perluas Pemilikan Sijil Halal
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu kini giat memperkukuh usaha bagi meningkatkan jumlah pengusaha yang memiliki sijil halal melalui pelbagai inisiatif tersusun dan strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha ini penting memandangkan Terengganu masih berada di kedudukan kedua terendah dalam pemilikan sijil halal di Malaysia.
“Sehingga Januari 2025 hanya seramai 317 pengusaha yang mempunyai sijil halal di mana 6 daripada daripada senarai tersebut adalah pusat penyembelihan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri dan juga Yayasan Pembangunan Terengganu serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu diberi peranan bagi menyelaras dasar serta pelaksanaan berkaitan pensijilan halal.
“Antara program yang akan dilaksanakan secara bersiri adalah bengkel kesedaran halal dan juga seminar kesedaran halal Terengganu,” ujar beliau.
Selain itu, YPU akan berperanan sebagai pusat sehenti rujukan halal menerusi pegawai-pegawai bertindak sebagai penasihat dan sumber rujukan kepada usahawan yang ingin mendapatkan pensijilan halal.
“Kerjasama strategik turut dijalinkan dengan Halal Development Corporation bagi mempergiatkan lagi kesedaran serta menekankan kepentingan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap dengan usaha ini dapat menarik orang berdaftar untuk mendapatkan pensijilan halal.