• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Perluas Kempen Henti Urus Niaga 15 Minit Waktu Maghrib

Pelancaran kempen berhenti urus niaga selama 15 minit waktu Maghrib akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sedikit masa lagi. Foto - Afiq M. Zaid
KUALA NERUS, 4 November - Kerajaan Terengganu telah memulakan kempen supaya semua urus niaga dihentikan selama 15 minit pada waktu Maghrib.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, ia bertujuan untuk memberi ruang kepada peniaga dan pembeli menunaikan kewajipan solat.

“Kita minta supaya berhenti lima minit sebelum dan 10 minit selepas Maghrib dan perkara tersebut sudah dimulakan di Taman Selera Jerteh sejak 15 Syawal lalu.

“Insya-Allah kempen ini akan diperluaskan ke seluruh negeri di bawah portfolio penjaja negeri,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena perayaan Deepavali di Mydin Mall, Gong Badak, semalam.


Sehubungan itu, beliau berkata, pelancaran akan dibuat di peringkat negeri, di lokasi yang dikenal pasti sudah mempunyai kemudahan berwuduk dan premis menunaikan solat.

Katanya, walaupun pada mulanya ada peniaga yang enggan menerimanya, namun ia berjalan dengan baik, setelah diberikan penjelasan.

“Lumrahlah, waktu itu (maghrib) ialah waktu puncak, tapi para peniaga yang majoriti orang Islam kita kena sedarkan mereka, punca rezeki adalah daripada Allah.

“Jadi bagaimana rezeki nak mari kalau kita tak tunaikan tanggungjawab (solat) dan alhamdulillah mereka dapat menerima dengan baik,” kata beliau.

Menurutnya, perkara yang sama pernah diamalkan oleh Kerajaan Terengganu pada tahun 1999, tetapi tidak diteruskan amalannya apabila Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan pada tahun 2004.


Katanya, kempen tersebut dibuat pada waktu Maghrib kerana ia adalah masa yang singkat, berbanding waktu Isyak yang panjang, sehingga sebelum Subuh.

Sehubungan itu, kata beliau, pelancaran peringkat negeri akan disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar setelah kemudahan asas berkenaan, terutamanya di pasar-pasar malam, dapat disiapkan.

“Hasrat saya sendiri dan kerajaan buat di semua (lokasi) peniaga kecil, di pasar-pasar malam, dengan kerjasama Syarikat Air Terengganu (SATU) dan penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Saya berharap akan dapat dilancarkan oleh YAB Menteri Besar dalam waktu yang terdekat,” tambahnya.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.


Tag: