Berita :
Terengganu 'Menang' Tiga Tuntutan Utama Dalam Penyelesaian Isu Felda
Terengganu 'Menang' Tiga Tuntutan Utama Dalam Penyelesaian Isu Felda
Husaif Mamat
5 jam yang lepas
202

KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan penyelesaian isu tanah ladang komersial Felda bukan bermaksud negeri mengalah atau berundur daripada pendirian asal, sebaliknya berjaya memperoleh tiga tuntutan utama yang diperjuangkan sejak awal, iaitu hasil premium tanah, cukai tanah dan bayaran perkongsian keuntungan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata inti perjuangan kerajaan negeri selama ini bukan untuk merampas atau menyita ladang milik Felda, tetapi menuntut hak negeri yang didakwa terjejas apabila ladang komersial dibangunkan di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

Menurutnya, isu berkenaan perlu difahami daripada asasnya, iaitu tindakan Felda membangunkan ladang komersial atas tanah kerajaan negeri yang menyebabkan Terengganu kehilangan tiga sumber hasil utama tersebut.

“Perjuangan kita selama ini ialah untuk menuntut hak negeri dalam bentuk tiga item utama itu. Bukan perjuangan untuk merampas atau sita ladang Felda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas tindakan kerajaan negeri menguatkuasakan Notis 425 Kanun Tanah Negara (KTN), Dr. Azman berkata langkah itu dibuat selepas semua ruang perbincangan dan rundingan yang ditawarkan sebelum ini tidak disambut pihak Felda, sekali gus menyebabkan isu berkenaan terus berada dalam keadaan tidak menentu.

Katanya, penguatkuasaan notis itu adalah sebahagian daripada ketegasan kerajaan negeri menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan satu jalan penyelesaian dapat dicapai.

Beliau menjelaskan, notis berkenaan bukanlah tindakan untuk terus merampas aset atau menyita ladang, sebaliknya memberi ruang remedi kepada pihak yang menerima notis untuk membuat pembetulan terhadap kesalahan yang dinyatakan.

“Hasilnya, selepas menerima Notis 425, kesediaan Felda untuk duduk berunding bagi menyelesaikan isu ini dapat dilihat. Itu menunjukkan mereka mahu membuat pembetulan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sepanjang proses tersebut, ladang tidak pernah disita, aset tidak dirampas dan pekerja juga tidak pernah dikeluarkan dari kawasan terbabit.

Dr. Azman turut mempersoalkan sama ada tanpa penguatkuasaan Notis 425, pihak Felda akan benar-benar bersedia untuk kembali ke meja rundingan atau isu itu akan terus berlarutan tanpa penyelesaian.

Menurutnya, usaha untuk berbincang dan berunding telah dimulakan sejak 2018, namun tidak membuahkan hasil, sehinggalah keadaan berubah selepas notis berkenaan dikuatkuasakan.

“Segalanya berubah setelah penguatkuasaan Notis 425,” katanya.

Beliau berkata, melalui perjanjian yang dimeterai, Felda diberikan pemilikan tanah, manakala kerajaan negeri pula memperoleh apa yang dituntut selama ini.

“Felda diberikan pemilikan tanah dan kerajaan negeri dapat apa yang dituntut,” katanya. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan