• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Pertaruh Gandingan Terbaik Cabar Piala Tun Abdul Razak

KUALA TERENGGANU, 17 September – Pasukan Hoki lelaki Terengganu menyasarkan kedudukan podium dalam Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 yang membuka tirainya esok.

Pemangku Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohd Fikri Harun berkata, gandingan pemain berpengalaman dan bakat baru Sukan Malaysia (SUKMA) diharapkan dapat mencabar kejuaraan antara negeri itu.

"Dengan gabungan enam pemain Malaysia, tiga bekas pemain kebangsaan dan satu pemain remaja kebangsaan, kita memiliki gandingan yang lebih ampuh berbanding tahun-tahun lalu.

"Ini ditambah dengan pemilihan jurulatih melalui kriteria dan kredibiliti iaitu jurulatih Tai Beng Hai yangb berpengalaman lebih 20 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis meraikan pemain dan penyerahan tajaan jersi Pasukan Hoki Terengganu Piala Razak 2020 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Stadium Hoki MBKT, Batu Buruk, baru-baru ini.

Jelasnya, bagi pasukan wanita pula, Terengganu menampilkan semua pemain daripada team SUKMA sebagai pendedahan kejohanan kepada wirawati-wirawati baru negeri yang dipimpin jurulatih, Muhammad Sabran Mohd Sharif dibantu pemain berpengalaman, Mohamed Shahrun Nabil Abdullah.

Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2020 akan berlangsung bermula 18 September hingga 26 September ini menjadi kejohanan pertama yang akan dilangsungkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pasca pandemik Covid-19.

Sebanyak 15 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita akan berentap merebut piala berkenaan di venue rasmi kejohanan, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Pasukan Terengganu masih berusaha mencari kejuaraan ketiga selepas menjuarainya pada tahun 2012 dan 2016. Skuad Sang Penyu pernah mara ke perlawanan akhir pada 2017 dan 2018 namun kedua-duanya tewas kepada pasukan Perak.

 

 

 

 


Tag: