• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Peruntuk RM1 Juta Majukan Pelancongan Komuniti

DUNGUN, 28 Oktober - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1 juta bagi memajukan produk pelancongan berasaskan komuniti di 39 lokasi di seluruh negeri tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata peruntukan itu bukan sahaja mampu menambah baik industri pelancongan sedia ada malah penduduk setempat juga boleh memanfaatkan kawasan terbiar.

"Kita sudah agihkan peruntukan ke lokasi terpilih termasuk di Kampung Pulau Serai, di sini yang menawarkan perkhidmatan teksi air oleh penduduk setempat bagi menelusuri Sungai Dungun. 

"Ia merupakan produk terbaharu pelancongan negeri bagi daerah Dungun dan diharap dapat memberi impak besar kepada penduduk dalam meningkatkan taraf ekonomi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program pengindahan produk pelancongan berasaskan komuniti di Kampung Rajawali di sini hari ini.

Ariffin Deraman.

Ariffin berkata dalam melaksanakan projek berasaskan komuniti itu, pelbagai aktiviti gotong-royong antara masyarakat setempat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan terutama bagi kerja-kerja menambahbaik kemudahan asas serta  mewujudkan mercu tanda swafoto yang menarik di kawasan masing-masing.

Beliau berkata program tersebut merupakan satu daripada usaha kerajaan negeri dalam memperbanyakkan produk pelancongan bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung. - BERNAMA.


Tag: