• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Peruntuk RM2.5 Juta Bagi Hadapi Banjir

KUALA TERENGGANU, 12 September – Terengganu memperuntukan RM2.5 juta bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka tiba tidak lama lagi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.5 juta disalurkan kerajaan Persekutuan manakala RM1 juta lagi daripada kerajaan negeri bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelekat.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menempatkan bekalan bencana ini di sebuah Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) yang berkapasiti besar di Marang, 17 mini depoh dan 149 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri.

“Bekalan keperluan mangsa bencana ini akan mula diagihkan mulai awal Oktober hingga pertengahan Oktober ke mini depoh dan pengkalan hadapan termasuk di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian,” katanya ketika dihubungi.

Tambah beliau, JKM juga telah menyediakan sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir.

Sementara itu, Hanafiah berkata, sebanyak 187 stesen hidrologi pemantauan banjir akan beroperasi di seluruh Terengganu pada musim tengkujuh kali ini yang berfungsi sebagai amaran awal apabila paras sungai mencecah tahap bahaya.

Katanya, sebanyak 87 stesen hidrologi beroperasi sebelum ini manakala tambahan 34 stesen daripada Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa Satu sudah beroperasi sejak Ogos tahun lalu.

“Selain itu, sebanyak 66 lagi stesen baharu daripada PRAB Fasa Dua yang sedang dalam pembinaan pula dijangka siap pada November ini,” ujar beliau lagi.

Pada masa sama, tujuh unit kamera web yang dipasang di beberapa sungai utama di enam daerah menjadi penanda aras amaran awal banjir.

“Dua daripadanya dipasang di sungai daerah Kemaman dan masing-masing satu di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Dungun.

“Ini dapat membantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat pemantauan 24 jam secara ‘real time’ dari jauh tanpa perlu ke lokasi sungai-sungai tersebut,” katanya

Beliau yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, sebanyak 21 siren turut dipasang di kawasan berisiko dengan jumlah paling banyak adalah Setiu diikuti Hulu Terengganu, Kemaman, Besut, Dungun, Marang dan Kuala Nerus.

“Siren ini akan memberi amaran awal kepada penduduk untuk segera berpindah ke PPS berhampiran dan kita harap orang ramai dapat mengambil langkah awal bagi mengelak mereka terperangkap dalam banjir," katanya.