• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Peruntuk RM500,000 Perkasa Lembah Jagung Marang

Peruntukan khas bantu meningkatkan hasil petani. 

MARANG, 14 Mac - Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM500,000  bagi pembangunan Lembah Jagung di Projek Pertanian Khas Alor Ketitir (PKAK), Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, peruntukan tersebut yang menumpukan keperluan infrastruktur dan pengairan kawasan dijangka dapat membantu projek tersebut meningkatkan hasil pengeluaran.

"Peruntukan ini disediakan supaya petani-petani yang bermasalah dalam beberapa aspek dapat dibantu.

"Kerajaan negeri tiada halangan untuk kita tambahkan keluasan kawasan penanaman berdasarkan keperluan," katanya ketika ditemui pemberita dalam sesi Lawatan Kerja ke Lembah Jagung Daerah Marang, di sini, hari ini.
Dr. Azman dan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman melihat variasi jagung yang ditanam di PKAK. 

Hadir sama dalam lawatan berkenaan ialah Timbalan Pengarah Pertanian negeri, Zulkefli Amin Mat Jusoh@Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Dr. Azman berkata, kawasan seluas 80 hektar itu diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

"Cuma kita masih dalam proses untuk mewartakan kawasan ini sebagai Lembah Jagung sahaja supaya ia benar-benar menjadi satu kawasan fokus untuk pengeluaran jagung Negeri Terengganu," katanya yang turut menjangkakan peningkatan hasil pengeluaran dengan pertambahan peserta.

Setakat ini, seramai 60 daripada 80 peserta PKAK mengusahakan tanaman jagung berkeluasan keseluruhan 80 hektar.

Selain penanaman jagung, PKAK turut mengeluarkan hasil tembikai, labu serta sayuran singkat seperti lada dan timun.

PKAK hasilkan jagung antara baka terbaik di Malaysia- Dr. Azman.

Sementara itu, Zulkefli memaklumkan, pihaknya sedang menilai pengurusan industri untuk meningkatkan hasil daripada pengeluaran jagung.

"Sebenarnya, bagi pengeluaran sehektar tanaman jagung, ada sekitar 30 peratus sisa hasil yang tidak digunakan.

"Jadi kita sedang menilai penghasilan daripada sisa ini kerana terdapat 50 produk hiliran bernilai tinggi yang boleh dihasilkan daripada pengeluaran jagung," katanya.

Pada tahun 2018, pengeluaran jagung daripada PKAK yang merupakan antara baka terbaik di Malaysia adalah sebanyak 1,200 metrik tan dengan nilai berjumlah RM1.2 juta.










Tag: