Terengganu Raikan Hari Penyu Sedunia: Program "Terengganu Turtles Tourism"

KUALA TERENGGANU, 24 April - Sempena sambutan Hari Penyu Sedunia yang jatuh pada 23 Mei 2025, kerajaan negeri bakal menganjurkan program peringkat negeri, 'Terengganu Turtles Tourism', bermula dari 22 hingga 24 Mei 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan penyu, di samping mempromosikan Terengganu sebagai destinasi utama ekopelancongan negara.

"Program ini turut tersenarai dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2025, dan dijangka dapat menarik lebih ramai pelawat serta pelabur yang menyokong agenda pelancongan lestari.

"Penyu adalah ikon khazanah semula jadi negeri yang bukan sahaja bernilai tinggi dari segi konservasi, malah mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi menerusi pelancongan berasaskan alam.

"Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap pentingnya pemuliharaan penyu dan menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama berkaitan konservasi penyu," katanya.

Tambahnya, program yang akan berlangsung selama tiga hari itu juga membuka potensi untuk merancakkan lagi pelancongan berasaskan alam semula jadi serta pelancongan berasaskan pendidikan.

Dalam usaha sama, Razali menjelaskan bahawa usaha kolaboratif bersama pihak badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan GLC telah dilaksanakan bagi merealisasikan konservasi reptilia marin itu.

"Di Santuari Penyu Ma’Daerah, Kerteh kita ada Kerjasama bersama Jabatan Perikanan, WWF Malaysia dan Ineos PCG Acetyls menjalankan aktiviti seperti pelepasan anak penyu, program corporate social responsibility (CSR), sarang penyu angkat, dan pencerapan penyu di habitat semula jadi.

"Pengurusan dan pemantauan pantai pendaratan penyu oleh Seatru (UMT) di Pulau Redang, Bubble Dive Resort dan Fuze Ecoteer di Pulau Perhentian serta Kapas Turtle Community Project di Pulau Kapas dan Gemia.

"Program kesedaran awam seperti Terengganu Turtle Camp dan Kem Penyu bersama Sekolah Angkat, di samping program pelepasan anak penyu yang mendapat sambutan menggalakkan," jelasnya.

Mengulas lebih lanjut, beliau juga menyentuh mengenai pembelian telur penyu daripada pemajak berlesen untuk dieramkan di tempat penetasan oleh pihak seperti WWF Malaysia, PULIHARA, Resort World Kijal dan Terengganu Silica.

"Kami berharap Terengganu Turtles Tourism dapat menjadi titik tolak kepada usaha bersepadu memelihara penyu serta mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama ekopelancongan negara," ujarnya.

Hari Penyu Sedunia disambut pada 23 Mei setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global tentang ancaman terhadap penyu laut dan usaha untuk melindunginya. 

Terengganu merupakan antara negeri terawal di Malaysia yang memulakan program konservasi penyu secara aktif sejak beberapa dekad lalu.