• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Rekod 35 Aduan Kes Pinjaman Ah Long

KUALA TERENGGANU, 24 November – Sebanyak 35 aduan membabitkan kes pinjaman ah long diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari sehingga Oktober lalu di Terengganu.

Menurut kenyataan itu, jumlah aduan tahun ini meningkat daripada tahun sebelumnya iaitu 21 kes pada 2019 dan 18 kes pada 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, berdasarkan statsitik dalam tempoh tiga tahun sejak 2019 sehingga bulan Oktober lalu, sebanyak 3,149 aduan membabitkan pinjaman ah long direkodkan di seluruh negara dengan 74 aduan dicatatkan di negeri ini.

Katanya, kesemua aduan yang diterima membabitkan golongan seperti ahli perniagaan, peniaga, pengawal keselamatan dan pemandu grab dengan jumlah pinjaman sebanyak RM27.77 juta dalam tempoh itu.

“Sebanyak 2,283 kes direkodkan sepanjang 2019 sehingga tahun lalu membabitkan jumlah keseluruhan pinjaman bernilai RM24 juta.

“Bagi tahun ini pula, sebanyak 839 kes diterima sejak Januari lalu sehingga Oktober lalu membabitkan jumlah pinjaman RM3.7 juta.

“Meskipun tahu kesan dan risiko yang bakal dihadapi bukan sahaja terhadap diri sendiri bahkan turut mengancam keselamatan ahli keluarga, masih ramai terjerat membuat pinjaman dengan mana-mana institusi pinjaman wang tidak berlesen atau ah long ini,” katanya sepertimana dilaporkan Utusan Malaysia.

Tegas Mohd. Kamarudin, masalah jenayah tersebut akan terus berlaku selagi permintaan untuk perkhidmatan ah long wujud.

“Sindiket ah long melakukan bermacam-macam tindakan termasuk mengancam nyawa peminjam dan keluarga semata-mata untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjam mangsa,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya terus mengambil langkah membanteras kegiatan tersebut dengan penahanan sebanyak 3,269 individu dalam tempoh tersebut atas penglibatan pelbagai kesalahan jenayah membabitkan ah long.

Tambahnya, pecahan jumlah melibatkan sebanyak 952 orang dituduh di bawah pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ancaman dan ugutan jenayah) serta Seksyen 420 Kanun Keseksaan (menipu selain Seksyen 4(1) Akta ) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) serta Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai agar melakukan semakan dan pengesahan lesen berdaftar syarikat pinjaman wang berlesen dengan kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) melalui laman sesawang www.kpkt.gov.my sebelum melakukan sebarang pinjaman.