• 16 Apr 2024 | 7 Syawal 1445

Terengganu Rekod 'Utilization Rate' Vaksin Covid-19 Tertinggi

KUALA TERENGGANU, 13 Jun - Terengganu menjadi negeri tertinggi merekodkan kadar penggunaan (utilization rate) vaksin Covid-19 iaitu sebanyak 93 peratus mengatasi negeri-negeri lain.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, daripada 183,700 vaksin yang diterima oleh negeri itu, hanya 13,239 dos vaksin yang masih belum digunakan.

“Pencapaian ini lebih baik berbanding sebahagian negeri yang mana ada negeri diberi sehingga 860,000 vaksin, tetapi masih berbaki sekitar 300,000 dos lagi yang belum digunakan.

“Kita akan menjustifikasikan bekalan vaksin yang dihantar kepada negeri yang menunjukkan pencapaian baik kepada penggunaan vaksin yang dihantar yang mana kedudukan hari ini negeri Terengganu mencatatkan paling tinggi.

“Bagi memberi dorongan kepada jentera meningkatkan prestasi, merit akan diberikan kepada negeri-negeri yang mencatatkan prestasi yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siding media selepas melakukan pemantauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Tambah Ahmad Amzad, PPV UniSZA merupakan antara pusat terawal melibatkan Institut Pengajian Tinggi dengan kapasiti mengendalikan 1,500 peserta pada satu-satu masa.

“Hari ini, pihak PPV melakukan pemberian vaksin kepada 150 peserta bagi menguji sistem yang dilaksanakan. Saya diberi tugas melakukan pemantauan dan mendapati, persiapan dilakukan dengan baik melebihi apa yang diharapkan.

“Tahniah kepada UniSZA kerana penglibatan sumber kepakaran yang ada merupoakan sesuatu yang sangat penting bagi membantu usaha negara melaksanakan lebih banyak suntikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.

 


Tag: