• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Salur RM15 Juta Biasiswa Pelajar Sejak 2019

KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) sudah menyalurkan biasiswa sebanyak RM15 juta kepada 601 pelajar cemerlang negeri terbabit sejak 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, inisiatif itu bagi membantu golongan berkenaan meneruskan pengajian di peringkat ijazah pertama sama ada dalam mahupun luar negara.

“Sehingga kini 84 orang daripada 601 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah menerima Skim Pelajar Cemerlang bagi mengikuti program, pengajian luar negara dalam bidang kritikal seperti perubatan, , kejuruteraan, sains, perakaunan serta al-Quran dan Qiraat.

“Bagi mereka yang tidak berjaya mendapat biasiswa ada disediakan Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera bagi memastikan lebih ramai anak-anak dari negeri ini akan berjaya menyambung pengajian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara bagi tahun 2022, di Pejabat Yayasan Terengganu, di sini, pada hari ini.

Turut hadir, Pengarah YT, Dato' Haji Mohd Azmi Mohamad Daham, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim serta Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh. 

Pada majlis berkenaan, seramai tiga penerima biasiswa SPC buat pertama kalinya akan menjadi pelajar yang akan dihantar ke Australia, Tuan Nurain Nadhirah Tuan Kob dan Iffah Nabilah Shahidan akan ke University Of Melbourne dalam bidang 'Commerce (Accountancy), manakala Mohamad Shafiq Akram Shafee ke Universiti Monash bagi menyambung pengajian dalam bidang farmasi.

Satiful memaklumkan, nilai keseluruhan biasiswa yang diterima oleh ketiga-tiga pelajar berkenaan adalah berjumlah RM 1.9 juta membabitkan tempoh pengajian selama tiga hingga empat tahun.

"Memilih Australia pada kali ini kerana kita ingin mempelbagaikan ruang pengajian ke lebih banyak negara sama ke United Kingdom, New Zealand, Korea dan sebagainya tidak hanya ke negara timur tengah dalam bidang pengajian Islam sahaja tetapi turut melibatkan bidang pengajian lain,” tambah beliau. 

 


Tag: