• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Salur RM300,000, Bantu Penanam Cili

KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri melancarkan bantuan khas input pertanian sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha cili di seluruh Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu diambil selepas kelompok terbabit antara yang sangat terkesan akibat kejatuhan mendadak harga lada di pasaran.

"Tinjauan kami mendapati penanam lada antara yang terkesan akibat kejatuhan harga secara mendadak sehingga mencecah RM1.50 satu kilogram. Malah ada yang membiarkan saja buah lada rosak di kebun kerana tiada pasaran.

"Keadaan ini meletakkan petani bukan setakat tidak mendapat keuntungan, malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Dr Azman, berdepan dengan keadaaan yang sukar di musim pandemik COVID-19 ini, langkah segera perlu diambil sebagai ‘suntikan’ kepada pengusaha cili agar kembali bangkit dan bersemangat.

"Memahami rintihan para petani khususnya untuk kitaran modal bagi penanaman semula, inisiatof perlu dibuat bagi memastikan petani mampu bangkit semula dalam situasi sukar sekarang.’

"Jabatan Pertanian Negeri Terengganu telah diarahkan untuk menyediakan data bagi tujuan penyaluran bantuan segera," tambah beliau.