• 17 Jun 2021 | 7 Zulkaedah 1442

Terengganu Salur RM500 Kepada Warga Tani Positif COVID-19

KUALA TERENGGANU, 7 Jun – Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menyalurkan bantuan ‘one-off’ tambahan sebanyak RM500 kepada warga tani dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan yang dijangkiti COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri , Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu akan disalurkan dengan kadar segera. 

“Jabatan-jabatan yang terlibat telah mngumpul data lengkap dari setiap daerah dalam usaha memastikan tiada yang tercicir atau terpinggir.

“Data terkini menunjukkan seramai 60 orang telah disahkan positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, pihaknya mengambil serius perkara itu kerana rata-rata rakyat Terengganu berkecimpung dalam industri terbabit.

“Kesemua mereka bergantung nasib sepenuhnya kepada rezeki daripada hasil pertanian untuk menyara hidup. Apabila disahkan positif COVID-19, mereka melalui tempoh rawatan dan kuarantin, ini telah menjejaskan kehidupan serta pendapatan mereka.

“Sumbangan ini bukanlah besar, namun ia cukup menggambarkan keprihatinan pentadbiran negeri kepada mereka yang telah menyumbang tenaga membekalkan sumber makanan negeri, seterusnya menghadirkan sedikit khabar gembira buat warga tani,” jelasnya.

Dr Azman.

Untuk rekod, sebelum ini kerajaan negeri turut memberikan bantuan sebanyak RM300,000 kepada 500 pengusaha tanaman cili yang terjejas akibat 'total lockdown'.

Ujar Dr Azman, langkah itu diambil selepas kelompok terbabit antara yang sangat terkesan akibat kejatuhan mendadak harga lada di pasaran.

"Tinjauan kami mendapati penanam lada antara yang terkesan akibat kejatuhan harga secara mendadak sehingga mencecah RM1.50 satu kilogram. Malah ada yang membiarkan saja buah lada rosak di kebun kerana tiada pasaran.

"Keadaan ini meletakkan petani bukan setakat tidak mendapat keuntungan, malah kehabisan modal untuk memulakan penanaman baru," katanya.

Dr Azman berharap agar bantuan itu dapat memberikan suntikan motivasi kepada warga tani untuk terus berbakti seterusnya menyemarakkan lagi kejayaan Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.


Tag: