• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Terengganu Sambut Baik Kajian Separuh Penggal RMK11

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyambut baik apa yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di parlimen, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau tetap konsisten dan bersetuju bahawa kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dapat memperkukuhkan konsep federalisme.

"Saya sendiri hadir mendengar pembentangan tersebut di mana Tun menekankan konsep federalisme dalam aspek hubungan akan diperkukuhkan di antara persekutuan dan negeri tanpa mengira parti yang memerintah.

"Ini amat kita hargai dan kita berpegang bahawa ianya satu natijah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat," tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Ahmad Samsuri  tidak mahu apa jua isu yang  berlaku di antara kerajaan negeri dan pusat memberi kesan kepada kebajikan rakyat.

"Jadi kita mahu masalah itu selesai.

"Sebab itulah kita amat mengharapkan supaya segala perancangan yang telah dirangka sebelum ini yang berkait dengan bidang kuasa pusat haruslah diteruskan," jelasnya.

Justeru itu kata beliau, sekiranya  ada penambahbaikan dan kajian semula, ia perlu dirujuk kepada pihak negeri supaya dapat diberikan pandangan berkaitan.

"Saya setakat ini merasa hubungan berjalan dengan baik antara negeri dan persekutuan," tambah beliau.


Tag: