• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Sambut Baik Pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia


Kerajaan negeri menyambut baik pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia (ISM) oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) yang dilihat berupaya memberi manfaat kepada bidang tadbir urus negara dan juga negeri mengikut syariat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, kaedah pengukuran tersebut juga bersesuaian dengan kedudukan Terengganu yang sudah lama menerapkan nilai-nilai Islam serta pendekatan wasatiyah dalam setiap perkhidmatan kerajaan dan juga politik.

Katanya, ISM yang baru diperkenalkan itu adalah bersifat menyeluruh dan bukan sahaja semata-mata menonjolkan jenama Islam, malah menggambarkan Islam dalam kehidupan bermasyarakat.

“Untuk tujuan itu,  terdapat lapan bidang pengukuran  termasuk berkaitan politik, ekonomi, perundangan Islam, sosial, prasarana, persekitaran, budaya serta pendidikan menjadi aras ukur dalam perlaksanaan tadbir urus negara.

“Terengganu tidak terlepas daripada kesemua bidang pengukuran tersebut,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Eksekutif ISM Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Ghazali berkata, pihaknya akan memastikan pengukuran ISM menjadi agenda utama di setiap jabatan kerajaan negeri dan juga anak syarikatnya.

Tambah beliau, semua pihak yang terlibat juga perlu memainkan peranan untuk menerima cadangan dan melakukan penambahbaikan selaras dengan pelaksanaan ISM.


Tag: