lightning-solid
Berita :
Terengganu Sasar 8.5 Juta Pelancong
Terengganu Sasar 8.5 Juta Pelancong
Adli Mohamad
12 Nov 25
377

KUALA TERENGGANU, 12 November - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menyasarkan kehadiran 8.5 juta pelancong domestik dan antarabangsa pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu kini dalam fasa untuk dimuktamadkan dan bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini.

"Penganjuran pelbagai acara ini bertujuan menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan seterusnya mempromosikan Terengganu sebagai destinasi wajib singgah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam pada itu, Razali menzahirkan penghargaan dan mengiktiraf sumbangan besar pihak swasta dalam memajukan sektor pelancongan di negeri ini dengan penglibatan aktif pengusaha-pengusaha yang terlibat telah membantu memperkayakan produk dan pengalaman pelancongan dalam negeri.

"Sekali gus menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan dalam merancakkan industri pelancongan. Kerajaan negeri juga sentiasa membuka ruang kerjasama dan penyelarasan bersama pihak swasta melalui pelbagai sesi libat urus bagi memastikan promosi, pembangunan dan penyediaan kemudahan pelancongan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun.

"Jawatankuasa ini menyokong sepenuhnya pelaksanaan Tahun Melawat Terengganu 2027 serta penubuhan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2027 melibatkan pihak swasta, penggiat industri, wakil komuniti dan pelbagai agensi berkaitan yang akan menjadi nadi utama dalam pelaksanaan strategi, koordinasi program dan promosi pelancongan negeri.

"Bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Terengganu 2027 dapat dicapai," ujarnya.


Tag :

Artikel Berkaitan