• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Sasar Lima Juta Pelancong Pada 2019


KUALA TERENGGANU, 12 Disember - Kerajaan Negeri Terengganu mensasarkan jumlah pelancong ke negeri itu sebanyak lima juta orang pada tahun 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Arifin Deraman berkata, ia adalah melebihi angka yang disasarkan pada tahun ini.

"Kita sasar lima juta kedatangan pelancong pada tahun depan insya-Allah. Tahun ini kita belum dapat angka sebenar (kedatangan pelancong) kerana masih berbaki sebulan lagi dan kita baru sahaja menghadiri bengkel bersama Kelantan, Johor dan Pahang bagi membincangkan usaha menarik pelancong,” ujarnya.


Antara cadangan yang dibincangkan ialah untuk menganjurkan pakej mendaki tujuh buah gunung di ketiga-tiga negeri ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Menelusuri Karya Seni Norhaiza 2018 yang diadakan di Kompleks Muzium Negeri semalam.

Sehubungan itu, Ustaz Arifin berkata, kerajaan negeri akan meneruskan dasar-dasar pelancongan sedia ada yang baik dan akan membuat penambah baikan kepada mana-mana yang kurang.

Antaranya kata beliau, kerajaan akan meningkatkan pelbagai aktiviti bagi menjadikan Taman Tamadun Islam sebagai tumpuan.


"Kita dah buat baik pulih dan ada sedikit masalah berlaku di bahagian atas Masjid Kristal. Jadi, insya-Allah dalam masa seminggu dua lagi ianya akan siap dan dibuka kepada umum.

“Kita juga sedang merangka untuk mengadakan pelbagai program, antaranya program Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang akan dilaksanakan di Taman Tamadun Islam dan sebelum ini kita dah pernah mengadakan program, antaranya Program Memperingati Itqan Al-Muluk Bita'dil As-Suluk (Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu) baru-baru ini,” jelasnya.


Tag: