• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Semarak Kempen Kibarkan Jalur Gemilang

KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Kerajaan Negeri melaksanakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang peringkat Negeri Terengganu bagi merancakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata langkah tersebut secara tidak langsung akan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat kita.

Katanya, dalam beberapa minggu sahaja lagi, negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-66.

"Sepanjang tempoh ini, kita telah dilimpahi dengan pelbagai nikmat kebebasan, keamanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum mahu pun agama.

“Dalam konteks negeri Terengganu, kita melihat setiap penduduknya tanpa mengira keturunan, agama dan budaya masing-masing bebas melaksanakan tugas dengan aman dan makmur.

“Sekiranya perpaduan tidak wujud seperti kita perhatikan kini, mungkin keadaan sedemikian tidak akan berlaku,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2023 bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak.

Tambah Dr Mamad, melalui kempen dan majlis yang diadakan ini, kita berharap ramai masyarakat yang sedar bahawa betapa pentingnya semangat cintakan negara melalui pengibaran jalur gemilang dan aktiviti-aktiviti yang diadakan.

“Dengan adanya pelbagai aktiviti yang diadakan, akan wujud satu perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama dan seterusnya akan mewujudkan semangat perpaduan negara yang mantap dan kukuh.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Terengganu kibarkanlah jalur gemilang dengan perasaan bangga sebagai tanda kecintaan dan ketaatsetiaan kita kepada negara kita Malaysia.

“Mudah-mudahan dengan cara ini kita dapat membina warga Malaysia yang bersatu tanpa mengira perbezaan warna kulit, anutan agama atau budaya.

“Sambutan hari kebangsaan yang dianjurkan pada setiap tahun ini bukan hanya untuk mengenang kembali detik-detik perjuangan menuntut kemerdekaan.

“Namun, apa yang lebih utama adalah keupayaan mengisi ruang kemerdekaan itu sendiri dalam diri setiap rakyat Malaysia,” ujarnya.

 


Tag: