• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Terengganu Semarakkan Usaha Dakwah Pasca Pandemik

KUALA TERENGGANU, 30 Mac- Pelaksanaan Tahun Semarak Dakwah Peringkat Terengganu bakal merealisasikan usaha kerajaan negeri dalam memantapkan lagi usaha dakwah dan tarbiah di kalangan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah berharap dengan pelancaran program berkenaan, masyarakat akan kembali bangkit dan penuh bersemangat untuk melakukan kerja-kerja dakwah serta kebajikan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang ada.

“Selama 22 bulan kita dikurung dan disekat untuk mengamalkan budaya dakwah seperti sebelum berlakunya pandemik ini, maka hari ini kita telah diberikan sedikit kebebasan untuk beramal kembali kepada budaya dakwah seperti sebelumnya.

“Menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku memperkenankan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan oleh Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), maka Tahun Semarak Dakwah ini dilaksanakan untuk menyuburkan lagi dakwah di negeri Darul Iman ini,” katanya dalam ucapannya sempena majlis pelancaran berkenaan, hari ini.

Pelancaran Tahun Semarak Dakwah Peringkat Terengganu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, yang dihadiri pegawai-pegawai serta kakitangan Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan, sebentar tadi.

Tambahnya, dakwah adalah tanggungjawab yang paling penting dan mereka yang diberi amanah perlu memasukkan roh Islam dalam semua perkara termasuk menyusun program-program untuk beri kesedaran dan mendidik masyarakat tentang peranan seorang Muslim.

“Majlis hari ini bakal membawa perubahan terbaik dalam meningkatkan modal insan di negeri ini seiring dengan hala tuju dalam mewujudkan negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” katanya.


Tag: