• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Terengganu Serius Didik Atlet Patuh Syariah

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober- Kerajaan negeri sentiasa serius dalam melaksanakan dasar sukan patuh syariah termasuklah pemakaian menutup aurat dalam ruang lingkup kuasa yang ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pelbagai usaha juga dilaksanakan dalam menjayakan hal itu termasuklah mengeluarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu pada tahun 2020.

"Buat masa ini kita memang membawa penerapan dasar atlet patuh syariah, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. jadi, kita mengukuhkannya melalui pendekatan mesra syariah untuk mereka (atlet) mula lakukan perubahan dan proses ini perlu untuk bimbing serta beri kesedaran kepada mereka.

"Kita tidak ambil pendekatan terus kepada penguatkuasaan. Sebaliknya, lebih kepada pendidikan dan menyelaraskan kesesuaian dengan pendekatan-pendekatan yang kita terokai," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini hari ini.

Menurut ADUN Tepoh itu, sebelum ini terdapat usahasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mereka bentuk pakaian atlet secara patuh syariah bagi menjayakan penerapan itu secara menyeluruh.

"Perkara tersebut tidak diteruskan disebabkan adanya kekangan kewangan ketika itu dan kita tidak mampu memenuhi keperluan dari pihak UniSZA,.

"Tetapi, kita berusaha dalam beberapa segmen sukan umpamanya basikal yang mana kita telah terima beberapa pakaian namun, sebagaimana saya katakan tadi, agak sukar menepati patuh syariah kerana ia melibatkan aspek keselamatan, undang-undang melibatkan Persatuan Basikal Antarabangsa (UCI) apabila menyertai pertandingan dan tidak semudah itu untuk diguna pakai.

"Jadi, kita akan sesuaikan dari masa ke masa secara 'internal' dan saya akan terus berinteraksi membawa hasrat ini kepada atlet-atlet kita," katanya.

Oleh demikian tambahnya, kerajaan negeri akan meneruskan keputusan untuk tidak menyertai acara-acara sukan yang sukar untuk diterapkan konsep mesra syariah sebagaimana penggal terdahulu.

"Ada sesetengah sukan-sukan yang kita tidak sertai seperti gimnastik, gimrama kerana kita terpaksa untuk tidak berkompromi dalam perkara ini dan kita harap pihak-pihak terbabit menghormatinya.

"Bukan kita membenci sukan itu, tetapi untuk membiarkan atlet negeri kita keluar dalam keadaan begitu, ia tidak sesuai," ujarnya.

Namun, beliau menegaskan atlet bukan Muslim yang mewakili negeri Terengganu tidak terikat dengan polisi itu.

 


Tag: