• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Showcase Platform Bantu Usahawan Berkembang Maju

KUALA TERENGGANU, 21 November - Dalam memastikan usahawan kecil dan sederhana dapat mengembangkan perusahaan mereka kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan usahawan dan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) telah menganjurkan 'Terengganu Showcase'.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program itu menjadi platform dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan promosi produk yang diusahakan  melalui Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam negara.

"Ia dapat menambahkan jualan mereka sekali gus bagi menambahkan pendapatan mereka, dalam masa terdekat ia akan diadakan di Mesra Mall yang akan berlangsung pada 22 hingga 26 Disember yang akan melibatkan seramai 20 orang usahawan.

"Manakala pada Mac 2022 kita merangka untuk mengadakan 'Terengganu Showcase' di Aeon Mall Nilai Negeri Sembilan yang akan melibatkan 35 usahawan Terengganu, kita akan melaksanakannya tiga kali dalam setahun," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai usaha kerajaan untuk memastikan usahawan negeri ini berkembang maju katanya, pihak kerajaan juga akan turut menyertai apa jua aktiviti karnival keusahawanan samada dianjurkan oleh kerajaan mahupun swasta.

"Bagi pasaran luar negara pula pihak kerajaan negeri akan menyertai aktiviti promosi dan jualan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai agensi peneraju untuk mempromosikan produk tempatan di pasaran luar negara.

"Bagi tujuan berkenaan pihak YPU juga akan meneruskan beberapa program usahawan yang sedang diadakan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka serta meningkatkan kapasiti keluaran mereka dimana ia melibatkan kerjasama pengusaha yang berada di luar negara.

"Baru-baru ini walaupun dalam menghadapi pandemik kita telah berjaya menghantar empat produk kita ke Dublin dan United Kingdom (UK), insya-Allah kita akan susuli selepas pintu negara dibuka nanti," ujarnya.

 


Tag: