• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Siap Sedia Hadapi Banjir

Haji Hanafiah Mat.
KUALA TERENGGANU, 13 November - Kerajaan Terengganu sudah bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Pembangunan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, jawatankuasa banjir peringkat daerah dan negeri telah ditubuhkan dan semua pihak telah bersiap sedia untuk menghadapi gelombang banjir yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

Katanya, persiapan yang dibuat adalah dari aspek kekuatan pegawai dan kakitangan, logistik dan pusat pemindahan serta bekalan makanan.

“Setakat ini dari segi material, barang-barang keperluan telah kita hantar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap daerah sebelum diagihkan kepada pusat pemindahan terlibat.

“Setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga telah diberikan taklimat dalam memastikan mangsa-mangsa banjir diberi layanan baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi FB Live Bersama Sinar Harian yang membincangkan tajuk Kerajaan Baharu: Terbelakah Nasib Mangsa Banjir?, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa banjir seperti sebelum ini.

“Kita akan salurkan seperti biasa selepas menilai segala kerosakan dan sebagainya mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Proses pembayaran juga akan dibuat seberapa segera selepas mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing kerana dalam tempoh ini mereka amat memerlukan bantuan kewangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hanafiah turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar peka dengan arahan pihak berkuasa dan segera berpindah apabila diarahkan berbuat demikian.

Tag: