• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

Terengganu Siap Siaga Hadapi Musim Banjir Norma Baru

MARANG, 15 Oktober - Semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir kini berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November ini sehingga penghujung Mac tahun hadapan.

Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, bermula hari ini, Terengganu telah melaksanakan Simulasi Bencana Banjir yang dimulakan dengan daerah Marang.

"Hari ini kita menjalankan proses simulasi ataupun latihan berkaitan dengan pengoperasian pusat pemindahan yang mana inisiatif daripada pihak Pengerusi Bencana Daerah iaitu Tuan DO (Pegawai Daerah) Marang untuk menjalankan program ini.

"Sangat bagus dan kita telah lihat tadi bermula daripada proses awal pemindahan, 'penduduk yang terjejas banjir' dipindahkan dengan bot dan lori. Alhamdulillah pematuhan itu berlaku dengan baik yang mana dalam bot kita telah kurangkan orang dengan agensi-agensi yang terlibat untuk membawa mangsa berkenaan ke tebing tempat selamat dan dibawa menaiki lori.

"Sama juga di dalam lori, kalau dahulu muatannya 40 orang, sekarang hanya 15 orang sahaja, tidak boleh bersesak-sesak dan sebagainya, dan terus dibawa ke pusat pemindahan yang dicadangkan. Ada dua kategori Prosedur Operasi Standard (SOP) kali ini sama ada digunakan di sekolah atau dewan.

"'Partition' dijarakkan untuk mematuhi SOP berkenaan, bermula dengan pendaftaran, penjarakan fizikal diutamakan, semua mangsa yang dipindahkan diberi 'face mask' dan sebagainya. Itu adalah SOP yang diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kita harus patuhi dari masa ke masa.

"'Food pax' juga kita sediakan yang mana kita telah disarankan oleh pihak Pengurusan Bencana Pusat, tidak ada lagi masakan secara gotong-royong dan sebagainya. Justeru bagi pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, insya-Allah kita sudah bersiap siaga untuk menghadapi musim banjir kali ini dalam norma baharu.

"Kita difahamkan ada lagi daerah lain yang akan dibuat mini latihan dan kita akan perkemaskan lagi SOP berkenaan dari masa ke masa," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Simulasi Bencana Banjir Peringkat Daerah Marang di Dewan Sivik Merchang di sini hari ini.

Hadir sama dalam program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Penolong Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu, Mejar Nik Hazlizam Nik Othman dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris.

Sulaiman Sulong.

Dalam pada itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong turut memberitahu, kerajaan negeri telah mengarahkan agar semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat dalam simulasi tersebut untuk memberi pendedahan dan mengadakan persiapan awal di peringkat komuniti masing-masing.

"Kita prihatin dan mengambil pendekatan melakukan satu tindakan awal bagi memastikan tidak berlaku kebimbangan di antara rakyat tentang persiapan dan persediaan menghadapi musim banjir. Saya juga mengharapkan kita semua sentiasa berhati-hati dan mendengar arahan pihak berkuasa dari masa ke masa," ujarnya.