• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Terengganu Siapkan Rumah Kanak-Kanak Terbiar Januari Ini

KUALA TERENGGANU, 23 September - Kerajaan negeri akan menyediakan rumah kanak-kanak terbiar di Kemaman Januari ini bagi melindungi golongan kanak-kanak di negeri ini daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Usaha menjayakan pusat transit tersebut sekali gus merealisasikan hasrat kerajaan negeri sebagaimana dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapan Belanjawan 2020 yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri akan mengorak langkah bersama-sama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan untuk menjayakan pusat transit ini.

"Rumah ini kita sediakan khusus untuk golongan kanak-kanak yang terbiar, antaranya golongan gelandangan.

"Kita akan masukkan mereka di tempat itu dan penjagaannya akan diuruskan oleh NGO terlibat. Kita juga berikan anak-anak tersebut belajar akademik di sekolah. Selepas mereka balik dari sekolah, kita akan masukkan pengisian kerohanian supaya mereka boleh menjadi manusia yang berguna.

"Bukan sahaja pada diri dan juga keluarga dia, malah yang paling penting kepada Allah SWT. Kerana selepas hidup kita semua akan mati. Hidup ini hanya sementara jadi kita berusaha mengisi jiwa mereka dengan intipati yang bermanfaat," jelasnya.

Hanafiah Mat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Hak-Hak Wanita Negeri Terengganu anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengarah Pembangunan Wanita Negeri Terengganu, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Hanafiah turut memberitahu, kerajaan negeri sudah mengenal pasti rumah yang akan dibaik pulih sebagai penempatan kanak-kanak terbiar.

"Buat permulaan kita akan masukkan seramai 20 lelaki dan 20 perempuan di rumah yang sudah dikenal pasti di Kemaman. Saya jangka mulai bulan 10 ini kita akan buat baik pulih rumah tersebut," katanya.

Tambahnya, kos untuk baik pulih rumah itu dianggarkan sekitar RM400,000 dengan kos bulanan sekitar RM50,000 hingga RM70,000.

"Rumah ini kita akan dapatkan geran daripada kerajaan negeri seperti yang diluluskan dalam bajet. Kos perbelanjaan bulanan adalah termasuk kos makan minum, kos elektrik, kos guru dan pekerja yang menjaga mereka," ulasnya.