• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Sokong Penuh Perjuangan Palestin

KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Terengganu memberi sokongan penuh kepada perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa di Palestin daripada cengkaman Israel kerana ia adalah jihad yang paling afdal.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tidak pernah berlaku dalam sejarah umat Islam Masjidil Aqsa berada di tangan orang kafir kecuali di zaman serangan tentera Keristian (Salibiyyah) kemudian dibebaskan oleh Salahuddin Al-Ayubi.

“Kemudian berlaku di zaman kita hari ini, saudara kita di Palestin berjihad menentang penjajahan Israel, membebaskan Masjidil Aqsa dari cengkamannya dalam keadaan bumi Gaza di kepung, bekalan elektrik dan air dipotong,” katanya ketika merasmikan Hari Penghayatan Islam Sempena Maulidur Rasul 1445H/2023 di Masjid Al Ikhwan Gelong Bilal di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah DUAT, Ustaz Zulkhairi Ngah, Pengarah I-MiTS, Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) Haji Zahanapi Sagaf dan Pegawai Agama Petronas, Ustaz Aidil Adha Tahir.

Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, paling kurang ada dalam hati orang Islam perasaan untuk berperang membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin dari penjajahan Israel.

Katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud siapa tidak mahu berperang dan tidak ada perasaan mahu berperang di jalan Allah maka dia mati dalam keadaan jahiliah.

Beliau berkata sunnah yang paling afdal ialah sunnah yang paling banyak orang tinggal dan jihad pada jalan Allah adalah sunnah yang paling ramai orang Islam meninggalkannya.

“Jihad pada jalan Allah itu amat luas mencakupi pelbagai aspek termasuk jihad dengan harta membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin,” ujarnya.

Selain itu katanya terdapat tiga golongan manusia berkait dengan peperangan termasuk golongan manusia tidak mahu berperang langsung, mahu hidup aman tanpa peperangan, golongan yang mengharuskan peperangan tanpa batas dan golongan yang mengharuskan berperang pada tempatnya.

Menurutnya walaupun Islam tidak melarang peperangan tetapi berperang mesti mengikut kaedah yang ditetapkan syarak.


Tag: