• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Sumbang RM165 Ribu Bantu Mangsa Bencana Gunung Jerai

ALOR SETAR, 23 Ogos - Sebanyak RM165 ribu berjaya dikumpulkan Khidmat Malaysia Terengganu bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di daerah Yan dan Kuala Muda, Kedah.

Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Hanafiah Mat berkata, jumlah tersebut diperolehi hanya dalam masa dua hari program kutipan derma dilancarkan.

"Ini angka yang sangat menakjubkan daripada sumbangan rakyat Terengganu yang prihatin dan simpati dengan rakyat negeri Kedah yang dilanda bencana.

"Orang Terengganu saban tahun mengalami banjir, jadi apabila bencana menimpa, ramai yang merasai keperitannya tampil menghulurkan sumbangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, di Seri Mentaloon, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah UPDI, Mohd Soud Said.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Penasihat Khidmat Malaysia Kedah, Senator Ahmad Yahya dan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, turut menasihati penduduk terlibat supaya bersabar dengan ujian tersebut.

"Ia merupakan dugaan daripada Allah SWT untuk menguji sejauh mana keimanan kita.

"Akhirnya apabila sampai masanya, Allah SWT akan gantikan dengan keimanan, kewangan atau kehilangan yang memberikan kebahagiaan sebagaimana kita dapat sebelum banjir lagi," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Khidmat Malaysia Terengganu yang menyampaikan sumbangan bagi membantu penduduk terjejas.

"Terima kasih kepada masyarakat yang menyumbang kewangan kepada rakan yang terkesan dengan bencana ini.

"Bagi pihak negeri Kedah, saya juga merakamkan terima kasih kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu yang prihatin dengan apa yang dihadapi dan hadir membantu.

"Kami akan manfaatkan sebaik mungkin sumbangan yang diberikan untuk membantu rakan-rakan di Yan dan Kuala Muda," katanya.

Terdahulu, fenomena 'kepala air' yang berlaku di sekitar Gunung Jerai pada Khamis lalu, telah mengakibatkan kerosakan besar di dua daerah berkenaan.

Setakat semalam, pasukan penyelamat telah merekodkan penemuan lima mangsa tragedi yang tertimbus.

Dianggarkan sebanyak 800 buah rumah di Yan dan 200 buah rumah di Kuala Muda terjejas akibat kejadian tersebut.

 


Tag: