• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Tawar Skim Pembiayaan ‘Food Truck’

Nurkhuzaini menegaskan skim itu menawarkan 'Food Truck' pada harga yang berpatutan.

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menawarkan Skim Pembiayaan ‘Food Truck’ dengan had maksimum pembayaran sebanyak RM75,000.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Koperasi Istiqamah Terengganu Berhad (KITAB) akan menjadi pembekal ‘Food Truck’ kepada YPU apabila termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak terbabit.

Jelasnya, ia secara tidak langsung akan memudahkan usahawan untuk memilih ‘Food Truck’ pada harga yang lebih rendah dengan aspek perkhidmatan terbaik.

“Ini adalah satu lagi kemudahan untuk usahawan-usahawan kita yang nak berkecimpung dalam bidang ‘Food Truck’ atau kenderaan saji ini.

“Istimewanya skim ini ialah pembekal akan membekalkan kenderaan saji mengikut kehendak pemohon tersebut, contohnya jika mahu menjual keropok, pembekal akan bekalkan kenderaan dalam tempoh enam minggu mengikut rekaan bersesuaian dengan jenis perniagaan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dan Pertukaran MOU antara YPU Dengan KITAB di Dewan Serbaguna YPU, di sini semalam.
Pertukaran MoU antara YPU dan KITAB.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik, Ketua Pegawai Eksekutif YPU Terengganu, Anuar Awang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili.

Menurut Nurkhuzaini lagi, usahawan yang berminat juga akan diberikan latihan khusus bagi mengendalikan kenderaan itu sebelum memulakan sepenuhnya perniagaan.

“Kaedah mengurus ‘food truck’ seperti cara servis akan diajar dengan teliti selama enam bulan, selepas itu usahawan akan diberikan kebebasan sepenuhnya.

“Ilmu pengurusan akaun turut akan diselitkan dalam skim ini bagi memantapkan lagi usahawan, kita sedar ramai usahawan yang berminat, tetapi kurang pakar dalam ilmu tersebut,” katanya.

Tambah beliau lagi, majlis pelancaran khas berkenaan skim terbabit akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Sekarang kita dah ada lima pemohon, kalau ikut tempoh siap kenderaan iaitu enam minggu, maka kita jangka pelancaran oleh Menteri Besar dalam tempoh sebulan setengah dari sekarang,” jelasnya.



Tag: