Sembilan Negara Sertai Candat Sotong di Terengganu Sempena Sail Malaysia
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Kerajaan negeri menegaskan bahawa larangan terhadap perlakuan homoseksual menerusi papan tanda yang dipasang di laluan utama berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah sebahagian daripada pendekatan dakwah berteraskan prinsip 'amar makruf nahi mungkar'.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, inisiatif oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu disokong penuh sebagai satu usaha mendidik masyarakat agar menjauhi perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Quran dan Sunnah.
"Larangan terhadap homoseksual bukanlah perkara baharu dalam Islam. Ia telah disebut dalam banyak ayat Al-Quran, termasuk kisah kaum Nabi Lut AS, yang dihancurkan kerana mengamalkan perbuatan songsang tersebut.
"Menegur kesalahan dan mencegah kemungkaran adalah sebahagian daripada kasih sayang terhadap manusia, agar mereka tidak terus berada dalam kesesatan.
"Maka, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, masyarakat perlu menzahirkan penolakan terhadap perbuatan mungkar ini secara hikmah dan tegas.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam.
Khalil juga menolak dakwaan bahawa papan tanda tersebut merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap golongan minoriti dan menegaskan bahawa ia bukan soal membenci individu, tetapi membenci perbuatan yang bertentangan dengan fitrah dan syariat.
Jelasnya, dakwah memerlukan pendekatan yang memandu manusia ke arah kebaikan, dan langkah seperti ini adalah salah satu usaha berterusan kerajaan negeri untuk membina masyarakat yang sejahtera dan diberkati.
"Kerajaan negeri menyeru semua pihak agar memahami konteks dakwah ini dengan hati terbuka dan tidak mempolitikkan atau memutarbelitkan mesej yang ingin disampaikan," ujarnya.
Tambah beliau, Terengganu sebagai negeri yang memartabatkan syariat Islam akan terus mengangkat usaha pencegahan, pendidikan dan penerangan dalam membina masyarakat yang patuh kepada ajaran agama.
Terdahulu, seorang ahli akademik tempatan telah mempersoalkan keputusan yang telah diambil oleh kerajaan negeri dan menyifatkan tindakan itu sebagai 'pengendorsan kebencian yang berbahaya'.