lightning-solid
Berita :
Terengganu Teguh Pegang Prinsip Wasatiyyah Sebagai Asas Pembangunan Negeri
Terengganu Teguh Pegang Prinsip Wasatiyyah Sebagai Asas Pembangunan Negeri
Rohayati Ripin
26 Nov 25
45

KUALA TERENGGANU, 26 November – Terengganu menegaskan komitmen untuk terus berpegang kepada prinsip wasatiyyah sebagai asas penting dalam melaksanakan agenda negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata, prinsip kesederhanaan yang seimbang dan berpaksikan kebenaran itu menjadi tonggak utama dalam membentuk pendekatan dakwah, pentadbiran serta perpaduan masyarakat di negeri ini.

“Kerana itulah kita perlu mengambil pengajaran dan pengalaman daripada semua pihak, khususnya sesama umat Islam, bukan sahaja dalam negara kita, tetapi juga di luar negara,” jelasnya.

IMG-20251126-WA0096.jpg 329.82 KB
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Wacana Daie Kontemporari Cabaran Dunia Islam  Perbezaan Mazhab di Oman, yang turut dihadiri oleh tokoh ulama terkenal dari Oman, Sheikh Ahmed bin Saud Al-Siyabi, di Dewan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) semalam.

Dr. Muhammad Khalil menambah, pengukuhan prinsip wasatiyyah perlu bergerak seiring dengan usaha memperluaskan ilmu, meningkatkan hikmah dalam dakwah dan memupuk perpaduan ummah agar kesejahteraan negeri dapat dicapai secara berterusan.

“Kita yakin kehadiran tokoh ulama besar seperti Sheikh Ahmed adalah satu keberkatan dan bukti bahawa negeri Terengganu Darul Iman sentiasa membuka ruang untuk ilmu, dakwah dan hikmah merentas sempadan," ujarnya.

Justeru, segala perkongsian ini dapat menjadi pembakar semangat kepada para pendakwah di negeri ini agar terus memperkasa pendekatan dakwah yang hikmah, berstrategi dan membina, demi memperkukuh perpaduan ummah serta menyemarakkan kefahaman Islam yang syumul.

Beliau berharap segala usaha ini membawa negeri Terengganu lebih dekat kepada matlamat Maju, Berkat dan Sejahtera dan menjadikan 'Indahnya Hidup Bersyariat' bukan sekadar slogan, tetapi satu realiti dalam kehidupan rakyat.
IMG-20251126-WA0102.jpg 440.9 KB
Sekali gus katanya, ia seiring dengan penghayatan Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk yang pernah dilaksanakan pada zaman Sultan Zainal Abidin III pada tahun 1911 Masihi.

Sementara itu, Dr. Muhammad Khalil menambah bahawa kedatangan Islam ke Tanah Melayu, termasuk Terengganu, sebenarnya dibawa oleh para pendakwah dari Jazirah Arab dan bukannya semata-mata pedagang seperti digambarkan dalam naratif Barat.

Menurut beliau, dapatan ahli sejarah menunjukkan pendakwah dari wilayah selatan Oman, Hadhramaut, dan kawasan sekitarnya memainkan peranan utama menyebarkan Islam kepada masyarakat di rantau ini.

“Urusan berniaga hanyalah perkara sampingan. Mereka datang dengan tujuan utama membawa risalah dakwah kepada nenek moyang kita,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa persepsi sejarah perlu diperbetulkan kerana terdapat naratif Barat yang cuba mengecilkan sumbangan pendakwah Arab dan menjauhkan masyarakat daripada fakta sebenar mengenai sejarah Islam di Nusantara.








Tag :

Artikel Berkaitan