Oleh : Nurul Natasha Surin
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kejayaan Terengganu melahirkan atlet bertaraf dunia hasil pembangunan sukan secara sistematik dari peringkat akar umbi menjadi asas keyakinan negeri itu untuk mengulangi kegemilangan pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pembangunan sukan di Terengganu bukan bersifat bermusim, sebaliknya dilaksanakan secara berterusan sejak atlet berada di bangku sekolah rendah sebelum dibimbing ke peringkat lebih tinggi sehingga ada yang berjaya menggalas cabaran negara di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Olimpik.

"Daripada kanak-kanak lagi kita bina dan bentuk mereka sehingga menjadi atlet. Malah ada yang mewakili negara di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Olimpik. Itulah hasil pelaburan jangka panjang yang dilakukan oleh kerajaan negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Terengganu ke SUKMA 2026, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Hishamuddin turut berkata, Kontinjen Terengganu akan menyertai 35 daripada 37 acara sukan yang dipertandingkan pada SUKMA 2026, dengan persiapan yang telah bermula sejak Januari tahun lalu menerusi program latihan, pendedahan pertandingan serta pemantauan prestasi secara menyeluruh.
“Segala usaha, pengorbanan dan perancangan yang dilakukan sepanjang tempoh persiapan akan membolehkan kontinjen Terengganu tampil lebih mantap untuk memberi saingan kepada pencabar lain sekali gus mengulangi kejayaan yang pernah dilakar pada edisi terdahulu,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar atas komitmen berterusan terhadap pembangunan sukan negeri, selain menghargai sokongan Ahli-ahli Yang Berhormat, jabatan angkat, persatuan sukan, jurulatih, ibu bapa dan semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada persiapan kontinjen.
Beliau turut mengingatkan atlet supaya mengimbangi usaha dan latihan dengan memperkukuhkan aspek kerohanian melalui doa serta tawakal kepada Allah SWT, sambil menyeru seluruh rakyat Terengganu terus memberikan sokongan padu agar kontinjen negeri berjaya mengharumkan nama Terengganu dan mengulangi kegemilangan pada pentas SUKMA 2026.