• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Teroka Peluang Pendidikan di Lima Negara

KUALA TERENGGANU, 28 Mei - Terengganu meneroka peluang pendidikan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di lima buah negara.

Mewakili Dato' Satiful Bahari Mamat selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, lima buah negara tersebut ialah Oman, Arab Saudi, Qatar, Afrika Selatan dan Turkiye.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri itu, kelima-lima negara berkenaan telah dikunjungi oleh beliau bersama Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Azmi Mat Dahan serta pihak pengurusan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT).

"Tujuan lawatan adalah bagi mencari peluang untuk anak-anak Terengganu menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi sama ada peringkat ijazah, sarjana ataupun Doktor Falsafah (PHD).

"Alhamdulillah, hasil daripada lawatan tersebut kita mendapat respon yang sangat positif insya-Allah saya difahamkan ia akan diperincikan oleh Pengarah Yayasan Terengganu melalui taklimat kepada pihak-pihak berkenaan kemudian akan membuka peluang kepada mana-mana yang berminat untuk memilih tempat atau institusi yang dipilih untuk melanjutkan pelajaran, "ujarnya.

Beliau berkata demikian  ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini hari ini.

Ujarnya lagi, kerajaan negeri bukan sahaja melawat negara berkenaan bagi memastikan anak Terengganu dapat menyambung pengajian ke negara tersebut bahkan juga turut berusaha bagi mendapat biasiswa penuh untuk meringankan kos pengajian sepanjang di sana.

"Menjadi polisi mana-mana negara akan membuka peluang untuk pelajar antarabangsa mendapatkan biasiswa.

"Cuma setiap negara ada kaedah yang tersendiri, jadi kita perlu tahu macamana untuk kita menghantar permohonan seterusnya mendapat tempat untuk menghantar anak Terengganu menyambung pengajian di negara terbabit dalam pelbagai bidang bukan sahaja pengajian Islam bahkan juga sains," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Terengganu juga berhasrat untuk menghantar kakitangan di bawah portfolionya untuk mengikuti kursus singkat dalam bahasa Arab bagi memperkasakan lagi penyampaian dakwah dan penerangan.


Tag: