• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Terus Catat Tiga Angka COVID-19

KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Terengganu terus mencatat tiga angka bagi kes harian baharu COVID-19 apabila sebanyak 203 kes baharu dilaporkan, hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan pertambahan 64 kes discaj dan dengan 203 kes baharu menjadikan terdapat 1,230 kes COVID-19 yang aktif di negeri ini dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,144 kes.

Menurut kenyataan tersebut, sebanyak 1,217 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala 13 kes menerima rawatan di ICU HSNZ dan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berdasarkan infografik, daerah Besut tetap mendahului dengan 83 kes positif baharu, diikuti dengan Setiu sebanyak 35 kes dan Kuala Terengganu (32 kes).

Turut direkodkan ialah satu kluster baharu, kluster Jalan Tuan Hitam yang mana kes indeks bagi kluster ini adalah Kes 4813 yang merupakan seorang lelaki berusia 33 tahun, Warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Mei 2021 hasil saringan individu bergejala. 

Terkini, enam daerah yang diletakkan di bawah zon merah ialah Kuala Terengganu, Besut, Dungun, Setiu, Kuala Nerus dan Marang dan dua daerah di bawah zon kuning iaitu Kemaman dan Hulu Terengganu.

Untuk makluman, daerah yang mempunyai 41 kes aktif dan ke atas dikategorikan sebagai zon merah manakala bagi yang mempunyai satu hingga 40 kes adalah zon kuning.

Sementara itu, kes positif harian hari ini (6,075) adalah tertinggi pernah dilaporkan sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Kali terakhir Malaysia merekodkan angka harian tertinggi ialah pada Januari lalu membabitkan sebanyak 5,725 kes.

 


Tag: