KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan komitmen untuk terus memacu agenda pembangunan sumber nadir bumi (REE) meskipun Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak memperincikan secara khusus penglibatan negeri dalam sektor tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata Terengganu telah pun memulakan pelbagai inisiatif di peringkat negeri dengan kerjasama pelabur sedia ada bagi memastikan potensi REE dimanfaatkan sepenuhnya.
“Walaupun tiada agenda khusus dalam RMK13, ia tidak akan merencatkan persiapan negeri untuk mengeluarkan hasil REE. Kita akan melaksanakan projek dalam skop dan bidang kuasa negeri terlebih dahulu, sementara perkara yang melibatkan dasar Persekutuan akan diteliti dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini bagi mengulas perbahasan Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di Sidang Parlimen semalam.
Menurut Mohd Nurkhuzaini, antara strategi yang telah digerakkan termasuk penyediaan makmal REE, pelantikan dua syarikat bagi memulakan kerja eksplorasi, selain mempertimbangkan lebih daripada 10 permohonan lain daripada syarikat yang berminat mendapatkan kawasan eksplorasi.
Katanya, Majlis REE Negeri Terengganu telah memulakan mesyuarat sejak 2024 dan akan diteruskan sepanjang 2025 sebagai platform penyelarasan strategi dan pelaksanaan projek.
“REE adalah antara fokus utama negeri untuk masa depan. Bermula sekarang, kita telah menyusun pelbagai langkah bagi menjayakan agenda ini demi manfaat ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.