• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Tetapkan Umur Belia Kepada 11 Tahun

KUALA TERENGGANU, 8 September - Terengganu bersedia mewartakan takrifan umur belia di negeri ini kepada 11 tahun berbanding dengan umur yang ditetapkan piawaian antarabangsa iaitu antara 15 sehingga 30 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penetapan umur lebih muda dianggap penting kerana golongan terbabit mudah dibentuk di usia muda.

Katanya, apabila tiba umur 15 tahun mereka sudah matang untuk berfikir mana yang baik dan buruk.

“Sebagai persediaan, pihak berkaitan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu akan memberi pendedahan dan pencerahan melalui pelbagai kaedah termasuk menganjurkan kursus dan motivasi melalui sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Majlis Perundingan Belia Negara peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini

Wan Sukairi turut memberitahu, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada agenda pembangunan golongan belia dalam pelbagai sudut, termasuk keilmuan, nilai-nilai murni, kemahiran dan keusahawanan.

“Oleh itu, sangat wajar bagi mereka yang masih bergelar belia merebut peluang yang ditawarkan dalam pelbagai sektor.

“Sebagai contoh terdekat, ada mewujudkan skim pembiayaan tertentu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan bagi mengalakkan belia berniaga dan bukannya hanya bergantung  kerja makan gaji,” katanya

 


Tag: