• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Terengganu Tidak Bercadang Laksana Penutupan Sementara Premis Kedai Makan Untuk Terawih - MB


KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kerajaan negeri tidak bercadang untuk melaksanakan arahan penutupan sementara premis kedai makan dan restoran bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan tahun ini sebagaimana Kerajaan Kelantan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa ini, Terengganu tidak mempunyai  keperluan untuk melaksanakannya  dan  tidak bercadang untuk melakukannya atas sebab-sebab tersendiri.

“Mengenai perkara ini, saya cuma mengetahuinya dari media sosial dan akan dapatkan penjelasan daripada rakan-rakan di sana tetapi buat masa ini kita tiada keperluan untuk melaksanakannya  dan kita tidak bercadang untuk melakukannya di sini.

“Kita kena tengok suasana setempat dan setiap negeri ada keunikan tersendiri. Ada yang perlu dipertimbangkan dan kalau berlaku di pantai barat tentulah ada fleksibiliti tertentu yang perlu difikirkan. Saya rasa Kelantan buat demikian, mereka ada sebab tersendiri dan wajar tanya mereka apa sebabnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Tahun 2019 ( kali ke 40 ) dan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 di dewan besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat; Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin; Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.

Tambahnya lagi, keperluan itu timbul jika ada sebarang masalah dan Terengganu tidak mempunyai masalah dan jika ada timbul perkara ini pada masa  akan datang , ia akan cuba diselesaikan dengan cara yang sesuai, dengan cara nasihat atau peraturan.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengusaha kedai makan dan restoran di seluruh Kelantan diarahkan menghentikan sementara perniagaan, bermula jam 8.30 hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Arahan tersebut dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri melalui satu notis 6 Mei 2019 dan berkuat kuasa serta-merta sebagai menggalakkan umat Islam menunaikan sembahyang terawih berjemaah di masjid atau surau, yang lazimnya diadakan sepanjang waktu itu.

Terdahulu dalam satu kenyataan di laman ‘Facebook’, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz turut membantah arahan tutup kedai makan di negeri ini selama satu jam setengah pada waktu malam sepanjang Ramadan.

 “Ia mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadhan yang penuh berkat. Rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadan wajar digalakkan, bukan dihalang.

“Pada bulan penuh kelebihan ini, umat Islam digalak menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah al Rasul,” katanya.

Tag: