• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Terengganu Tubuh Urus Setia Wanita

KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Sebuah jawatankuasa Urus Setia Wanita Terengganu secara rasmi ditubuhkan hari ini oleh kerajaan negeri melalui portfolio Pembangunan Wanita & Keluarga bagi menjaga kedudukan golongan berkenaan seiring dengan hasrat dan kehendak rakyat.

Hanafiah Mat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri memandang serius keperluan urus setia tersebut yang akan berperanan untuk membangunkan peranan wanita dalam institusi masyarakat.

"Alhamdulilllah sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Besar dalam bajet yang lalu, penubuhan Urus Setia Wanita Terengganu telah dipersetujui kerajaan negeri bagi memastikan perancangan dan pelaksanaan portfolio wanita khususnya dapat dibuat dengan sebaik mungkin.

"Kita amat berhasrat untuk mendengar bahkan mengangkat suara wanita bagi merealiasikan hala tuju rakyat negeri Terengganu. Buat masa ini pejabat urus setia ini akan beroperasi di TD1303 dengan siri-siri 'roadshow' sedang dirancang dan akan berjalan dari masa ke masa," ujarnya dalam satu kenyataan pada sidang media di Paya Bunga Hotel di sini hari ini.

Zuraida Md Noor.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor menyifatkan, penubuhan urus setia terbabit menunjukkan keseriusan kerajaan negeri terhadap pembangunan wanita seiring Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

"Saya sangat berbesar hati di atas pencapaian ini dan berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan negeri yang prihatin terhadap isu-isu wanita yang perlu diambil berat dan diketengahkan bagi mencapai visi dan misi PITAS 2030.

"Justeru dengan adanya urus setia ini, ianya akan sekali gus membantu peranan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam bekerjasama menyelesaikan isu-isu wanita yang berbangkit," ujarnya.

Urus Setia Wanita Terengganu yang mula beroperasi sejak awal bulan ini, akan diketuai Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din bersama tujuh lagi ahli jawatankuasanya yang telah dilantik.

Mengulas lanjut, menurut Sakinah, urus setia wanita yang dipertanggungjawabkan itu berperanan berdasarkan beberapa teras, antaranya termasuklah pembangunan diri wanita, pemeliharaan hak-hak wanita, penglibatan golongan wanita serta pemerkasaan institusi dan sistem sokongan keluarga.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti.


Tag: