• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Tumpu Pulih Ekonomi Rakyat Dalam Bajet 2022

KUALA NERUS, 5 September - Terengganu akan menumpukan usaha memulihkan ekonomi rakyat sebagai antara teras utama pembentangan Bajet Terengganu 2022.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menjayakan usaha tersebut, kerajaan negeri turut mendapatkan pelbagai cadangan daripada rakyat, golongan profesional, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

"Apa yang menjadi harapan saya, tahun 2022 adalah tahun bagaimana untuk kita 'restart' ekonomi dan aktiviti rakyat. Dari beribu-ribu cadangan yang dikemukakan, kita akan pilih mana yang menjadi keutamaan. 

"Jadi, kita fokus apa jua cadangan-cadangan yang diberikan dengan hasrat untuk menggerakkan semula ekonomi dan memperkasa rakyat setelah keluar daripada pandemik kepada endemik nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan ke Dewan Sivik Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dalam Misi Kebajikan Kami Bersamamu anjuran Khidmat Malaysia Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat yang juga merupakan pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat.

Dalam lawatan tersebut, beliau mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan sebanyak RM1.6 juta anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc bagi membantu urusan pengagihan air ke kawasan terlibat yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@ Harun.

Dalam pada itu, berdasarkan laman sesawang eBAJET2022 Terengganu, terdapat lima teras utama disenaraikan kerajaan negeri iaitu Daya Tahan Isi Rumah & Individu Terjejas, Kesejahteraan Sosial Masyarakat, Ketersediaan Kemudahan Awam Rakyat, Pertumbuhan Ekonomi Negeri serta Persekitaran & Alam.


Tag: