• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Terengganu Tunai Janji Serah Semula Tanah 'Terkilan' RTB Beril

Dr. Samsuri melakukan gimik penyerahan kepada salah seorang peserta yang menerima hak milik tanah dan borang 5A. 

DUNGUN, 18 Ogos -  Penantian selama 15 tahun peserta 'terkilan' Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Telaga Emas Beril Blok 3 berakhir apabila kerajaan negeri menyerahkan Borang 5A kepada 212 peserta tersebut, hari ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, langkah itu adalah komitmen berterusan daripada kerajaan untuk menyelesaikan isu hak milik tanah.

"Kita bermula dengan menyelesaikan masalah pemilik 'terkilan' yang telah diambil tanah mereka pada tahun 2004 dan ke atas disamping kita cuba menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah.

"Proses ini berterusan, setakat ini kita telah menyelesaikan anggaran antara 10 ke 15 peratus dan ia melibatkan beribu-ribu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hak Milik Tapak Rumah Dan Ladang kepada Peserta Felda Kertih 4 & 5, serta Penyerahan Borang 5A RTB Beril Blok 3 dan RTB Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di Ketengah Jaya, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat; Pengurus Besar Wilayah Felda Terengganu, Helmi Fakhzan Abd. Wahab serta Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dungun dan Kemaman.

Penyerahan dokumen hak milik (geran tanah) melibatkan 413 orang peneroka di kedua-dua felda dan seramai 33 peserta RTB AMBS pula turut menerima borang 5A setelah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Februari lalu.

Penyerahan tersebut turut menjadi penyelesaian yang pertama isu pemilik 'terkilan' bagi daerah Dungun.
MB Terenganu komited kerajaan negeri akan menyelesaikan isu hak milik sebaik mungkin.

Dalam pada itu, Dr. Samsuri turut menasihati rakyat yang terpilih supaya memanfaatkan tanah yang diperolehi sebaiknya selain memohon rakyat yang belum berjaya supaya bersabar.

"Kita ada tempoh lagi untuk cuba selesaikan.Peringkat awal proses ini memang agak perlahan, tetapi langkah seterusnya insya-Allah akan semakin cepat.

"Kami juga berharap wakil rakyat dari masa ke masa dapat dengar cadangan rakyat sekiranya boleh mempercepatkan perkara ini," katanya.

Beliau juga menyatakan pelaksanaan RTB baharu akan memakan masa sekalipun begitu, ia tetap diusahakan kerajaan negeri.

"Kita sedar di daerah tertentu seperti Kuala Terengganu, untuk dapat kawasan sebagaimana dahulu agak sukar dan mungkin akan terkeluar jauh dari kawasan awam. Tetapi, harap-harap rakyat boleh terima jugalah," jelasnya.

Untuk rekod, penyerahan semula hak milik tanah kepada pemilik-pemilik yang dirampas merupakan antara manifesto kerajaan Pas Terengganu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.












Tag: